BERAI – BERAI HUJAN

dalam berai – berai hujan

keretaku bergerak perlahan

melodi bernada sayu

menemaniku pulang..

terkenang siaran tayangan

tentang kepulangan

dua puluh jasad-jasad warga tanahairku

di nanti dengan penuh debaran

dengan tangisan..

 

dalam berai-berai hujan

airmataku mengalir

terkenang hati yang kehilangan

insan tersayang…

tersayat hati

melihat si kecil memeluk keranda

bonda  tercinta

 

mama oh mama…!

andaikan ku dapat mengucup pipimu

buat kali yang terakhir

 

betapa hiba nya hati yang melihat..

apatah lagi yang merasa…

tragisnya sebuah kehilangan

 

dalam berai-berai hujan

menyedarkan diri…

tentang hakikat sebuah kehidupan

tentang kematian

tentang bekalan…

bila?

di mana?

bagaimana?

nyata bukan yang utama

yang pasti

mati itu satu destinasi

 

semoga yang tinggal

bangkit melangkah

mencedok hikmah

meniti masa dengan tabah

yang melihat

sama-sama muhasabah

sama-sama bermuhajadah

perbaiki diri

menambah amalan

kerna

bila tiba detik itu

di saat mata terpejam

di saat jantung berhenti berdetak

tibalah kita

pada kehidupan hakiki

di sanalah terbentang hakikat diri

 

andai dapat diri kembali

ingin bersujud seribu tahun lagi

 

makanya..

kehidupan dunia yang sedetik cuma

diharapkan kita tidak memuja

pada materi tidak disanjung

 

sementara hayat masih dihitung

hargailah peluang

buat menghimpun amalan

semoga nantinya

kehidupan hakiki

manis menanti

harum abadi

 

buat yang mendahului

moga kalian

aman dan tenang menanti

indah berseri di taman mewangi

yang pasti kalian

akan kami susuli.

 

Nukilan rasa:

Sawonila

https://aliknualikni.wordpress.com

(mengenang MH17@26 Syawal 1435H bersamaan 22 hb Ogos 2014)

Advertisements

Sambal Paus + Ikan Tawar

Amaran: Sesiapa yang hendak jaga berat badan ideal tidak dinasihatkan membuat sambal paus sebagai menu lunch atau dinner mereka. Ini kerana sambal paus merupakan catalyst/faktor penggalak menambah nasi.

BAHANBAHAN:

Buah paus ringan – dua tiga butir hak masih putik, dikoyak kulit dan diracik-racik halus sebelum dihiris.

Lada burung yang sudah masak – ikutlah nak pedas setara mana

Garam secukup rasa

Ikan selayang – dibakar dan ambil isinya sahaja

CARA MEMBUAT:

1) Di dalam lesung batu, tumbuk lada burung dengan garam dahulu hingga agak lumat ladanya.

2) Masukkan buah paus yang sudah diracik. Tumbuk lagi hingga agak hancur. Jangan lumat benar takut berdeney pulak, nanti tak sedap

3) Akhir sekali, masukkan isi ikan tawar dan tumbuk bersama bahan tadi sambil dikaup balik supaya sebati.

4) Ambik sudu, sodepkan masuk dalam mangkuk

Sambal paus sangat sesuai dimakan bersama Ikan Singgang ataupun kuah lemak. Memang menyangkutlah! Hinggakan mertua lalu pun kita tak kabar.

Nota:

Ikan tawar boleh diganti dengan ikan kering bakar misalan ikan tamban bakar dan ambil isinya. Tapi bila guna ikan kering, kuantiti garam kena waspada, takut terlebih masin.

buah pauh

Buah paus ringan (google)

Selamat mencuba!